Tips-tips Membeli Ikan Kelisa
3:53 PM
azan
,
0 Comments
Semasa memilih ikan arowana, kesihatan arowana adalah perkara paling asas yang perlu dipertimbangkan. Pilihlah arowana yang aktif sahaja. Jangan sesekali membeli arowana yang suka bersembunyi di penjuru, berenang tidak normal atau yang berpenyakit. Antara tanda-tanda berpenyakit atau kecacatan yang dihadapi arowana ialah seperti sepasang sesirip pektoral yang terkapit, sesirip pektoral yang tidak sama panjang atau terlalu membengkok, konfigurasi sesisik yang tertonjol, dubur tersembul, bebola mata berselaput dan bernafas terlalu cepat (rapid breathing).
Pastikan kedua-dua bebola mata haruslah kelihatan jernih dan bersih serta bebas daripada sebarang selaput tebal, mulut dan rahang haruslah tertutup sempurna, sepasang sesungut di hadapan rahang bawah haruslah sama panjang serta tidak bergulung, antara bahagian kepala dengan tubuh haruslah melandai, bentuk keseluruhan tubuh haruslah serata serta seimbang, sesisik haruslah tersusun rapi serta kelihatan seimbang, manakala sesirip haruslah sepadan dengan saiz tubuh (tidak terlalu besar atau sebaliknya) serta terbuka sepenuhnya. Warna arowana pula harus dititikberat berdasarkan kepada tanda-tanda pembeza keturunan (strain), samada mereka daripada kategori Emas, Merah atau Hijau.
Rahang bawah yang menonjol ke atas akan kelihatan lebih ketara, tatkala arowana itu semakin membesar. Ketidak-seimbangan tumbesaran seperti berkepala atau bermata terlalu besar, adalah petanda bahawa arowana mengalami kebantutan akibat kerencatan atau kelengkungan tulang spinalnya (spinal curvature). Sesirip yang besar lebih digemari oleh kebanyakan para penggemar, tetapi hal ini tidak perlu terlalu difikirkan kerana ia akan kelihatan mengecil apabila arowana semakin membesar.
Arowana harus pantas dan tangkas berenang dengan kesemua sesiripnya terbuka luas (termasuk sepasang sesirip pektoral). Arowana juga seharusnya tidak terlalu liar dan sentiasa bersedia untuk diberi makan. Adalah sukar untuk mengenalpasti tanda-tanda pembeza keturunan, jika arowana masih terlalu kecil. Jesteru, sukar jualah bagi menentukan gred-grednya. Oleh yang demikian, adalah dicadangkan supaya mendapatkan arowana dewasa bagi tujuan pengenalpastian. Jangan sesekali membeli arowana yang baru sahaja tiba di kedai. Kerana dikuatiri ikan itu terkena wabak atau jangkitan.
0 Response to "Tips-tips Membeli Ikan Kelisa"
Post a Comment